230217-prk-on9 ocpd baharu Mohamad Zainal
 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Masri Pandak, 37, dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di bahagian dada selepas dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran balai pengawal tersebut.

Mangsa dikatakan sempat makan cendol bersama suspek sebelum kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Perak Te­ngah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihak­nya menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 8.25 malam selepas seorang rakan setugas mangsa menghubungi polis.

“Berdasarkan keterangan rakan mangsa tersebut, kita dapati dia dan mangsa serta seorang lagi rakan mereka yang telah menghilangkan diri sedang bertugas ketika kejadian.

“Suspek yang berusia 52 tahun itu kini sedang dikesan polis dan motif pembunuhan sedang disiasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, suspek yang telah bekerja di kilang tersebut sejak enam tahun lalu itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes curi manakala mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Seorang saksi memberitahu mangsa sempat makan cendol bersama suspek sebelum kejadian tersebut berlaku.

“Setakat ini polis sudah merakam ketera­ngan semua 11 pengawal keselamatan yang bekerja di kilang itu dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut kemungkinan berlaku di­sebabkan masalah peribadi antara mangsa dan suspek,” katanya.

Mohamad Zainal memberitahu, beliau juga dimaklumkan pengawal keselamatan di kilang tersebut tidak dibekalkan sebarang senjata dan polis percaya senjata yang digunakan adalah milik suspek sendiri.

Tambah beliau, pi­hak­nya turut menemukan satu kelongsong dan satu anak peluru selepas pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian dijalankan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.