Selepas menikam mangsa, suspek berusia 24 tahun yang juga rakan senegara bergegas melarikan diri dengan terjun dari kapal menggunakan pelampung dan berenang menuju Pulau Tenggol.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang parah dengan kesan tikaman di perut selain dikelar di beberapa anggota badan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan.

Beliau memberitahu, hasil siasatan awal polis mendapati suspek tiba-tiba mengamuk dengan bertindak mencederakan tekong menggunakan pisau serta merosakkan peralatan menangkap ikan.

Menurutnya, berdasarkan aduan pemilik bot, terdapat empat awak-awak dan seorang tekong yang kesemuanya warganegara Thailand berada di atas bot pukat tunda kelas C itu dan mereka tidak fasih berbahasa Malaysia.

"Kita dapati tekong bot itu telah bekerja selama lebih 10 tahun dan empat awak-awak bekerja bersama tekong tersebut,” katanya, hari ini.

Menurut Fazlisyam, tiga awak-awak yang berada di atas kapal ketika kejadian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Tambah beliau, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu. - UTUSAN ONLINE