Hal demikian kerana menurut Pengarah AADK negeri, Rujhan Ramli, dalam setiap operasi dilakukan agensi berkenaan, ‘port’ di Tanjung Lumpur itu menyumbang kepada jumlah tangkapan penagih dadah tertinggi di negeri ini.

“Setiap minggu kita adakan operasi di ‘port’ Tanjung Lumpur itu dan setiap kali operasi pasti ada penagih yang ditangkap di situ.

“Mereka (penagih) ini bukan sahaja dari kawasan itu, malah ada daripada luar seperti Kemaman yang mana mereka berasa ‘port’ itu selamat untuk menghisap dadah,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Operasi Perdana Khas bersama Pasukan Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (Strike) AADK di sini hari ini.

Rujhan berkata, dalam Operasi Perdana Khas yang diadakan selama lima hari bermula 18 Mac lalu itu, seramai 196 orang ditahan dan daripada jumlah tersebut 159 individu positif dadah.

Jelasnya, 67 orang yang ditahan adalah penagih baharu dan selebihnya ada penagih berulang.

“Fokus kawasan kita adalah di Tanjung Lumpur pada operasi khas bersama Strike AADK kali ini selain tiga lagi ‘port’ baharu di Bukit Goh, Bukit Kuantan dan Cherok Paloh,” katanya.

Menurutnya, jenis dadah yang digunakan penagih ditahan adalah opiat (97 orang), ganja (seorang) dan 61 orang lagi menggunakan dadah jenis methamphetamine. - UTUSAN ONLINE