Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, suspek pertama diberkas seorang pengawal keselamatan ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah pejabat sekolah di Bayan Lepas kira-kira pukul 2.30 pagi hari sama manakala suspek kedua ditahan sekitar pukul 10.30 malam di Bayan Baru.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu merupakan warga Vietnam yang masing-masing berusia 27 dan 29 tahun serta telah bekerja di negeri ini antara empat hingga tujuh tahun lalu.

Katanya, susulan tangkapan tersebut, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah termasuk mesin gerudi, pemutar skru, tukul kuku kambing besi, parang, pahat, playar, alat pemotong besi dan sebagainya.

“Barangan lain yang dirampas termasuk sebuah beg galas berwarna hitam yang mengandungi penutup mulut, telefon bimbit, cermin mata hitam, topi serta beberapa barangan lain.

“Polis percaya kesemua suspek ini bergerak dalam satu kumpulan dan menggunakan beberapa modus operandi untuk menjalankan kegiatan mereka termasuk meninjau lokasi sasaran yang mempunyai peti lebih awal.

“Kesemua suspek juga dipercayai menggunakan topeng muka dan sarung tangan untuk masuk ke kawasan yang dikenal pasti selain memiliki senjata tajam seperti parang sebagai persediaan untuk melepaskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Barat Daya di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE