Menurut sumber, perniagaan judi nombor ekor (4D) haram amat menguntungkan kerana tidak perlu membayar cukai atau duti pertaruhan kepada kerajaan termasuk cukai pendapatan syarikat berban­ding syarikat berlesen yang mematuhi undang-undang dan peraturan kerajaan.

"Tetapi apabila keadaan meruncing akibat kelemahan penguatkuassan jangan terkejut jika mereka (yang berlesen) turut terlibat sama di dalam mendalangi aktiviti sedemikian pada masa depan.

“Jumlah wang kemenangan yang dibayar kepada kaki judi 4D haram adalah lebih tinggi daripada syarikat-syarikat berlesen ditambah dengan kelemahan penguatkuasaan serta rasuah antara faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan aktiviti sedemikian yang telah menular ke seluruh negara.

“Ironinya, kerajaan rugi saban tahun akibat kegagalan mengutip cukai pertaruhan dan duti pertaruhan sebanyak lapan peratus bagi setiap aktiviti judi 4D yang turut menyumbang kepada peningkatan gejala sosial di dalam masyarakat kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Aktiviti haram itu terbongkar hasil serbuan di salah sebuah negeri di selatan tanah air oleh Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap beberapa kelab KTV dan sejumlah premis milik ahli perniagaan itu pada Januari lalu.

Menurut sumber, ahli perniagaan tersebut dikesan meraih pendapatan berjumlah ratusan juta ringgit setahun daripada aktiviti judi 4D haram itu.

Malah, sumber memberitahu, aktiviti tersebut dipercayai telah dilakukan ahli perniagaan terbabit sejak beberapa tahun lalu dan bertambah besar kerana dilindungi ‘jari­ngan lautan biru’ penguatkuasa pelbagai agensi tanpa dikesan oleh pihak berkuasa yang telah dibayar ratusan ribu sehingga mencecah jutaan ringgit setiap bulan.

“Ini terbukti dalam serbuan berkenaan senarai nama pe­nguat kuasa yang terlibat telah ditemui oleh SPRM dan kini sedang disiasat untuk diambil tindakan. Hakikatnya mereka dari segi teknikal bukan tidak membayar cukai kepada kerajaan tetapi 'membayar kepada wakil kerajaan’,” kata sumber itu.