Ketika ditangkap, wanita berusia 36 tahun itu bersama seorang anak berumur 4 tahun sedang
berurusan dengan `pelanggan' yang tanpa disedari merupakan pemilik kamera yang dicuri
suaminya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu `temujanji' yang membawa kepada penangkapan wanita tersebut, suaminya sedang
menunggu di dalam kereta.

Menurutnya, sejurus ditangkap, wanita berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk
siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan wanita itu mendakwa tidak
menyedari diperalatkan oleh suaminya.

"Lelaki berasal dari Bachok, Kelantan itu sedang diburu dan kita minta kerjasama orang ramai
yang mengenali suspek yang bernama Abdul Rahim Alias agar menghubungi mana-mana balai
polis berdekatan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di pejabat di sini hari ini.

Suffian memberitahu, hasil siasatan polis mendapati lelaki berusia 40 tahun itu pernah terlibat
dalam lima kes seumpama itu sebelum ini yang menggunakan modus operandi yang sama.

Jelasnya, kes terbaharu berlaku pada 17 Oktober lalu apabila suspek dikatakan memecah masuk
sebuah kedai foto berdepan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Gong Badak sebelum melarikan
sebuah kamera jenis Canon 50 D.

"Hasil siasatan mendapati suspek memasuki kedai itu melalui bumbung klinik yang terletak
bersebelahan. Suspek kemudian mengarahkan isterinya menjual kamera tersebut melalui
mudah.com.

"Bagaimanapun pemilik kamera itu mengadu, ketika dia cuba mencari sebuah kamera lain
sebagai ganti menerusi mudah.com, tiba-tiba dia ternampak kamera miliknya diiklankan untuk
dijual dalam mudah.com sebelum mengadakan `temujanji' sebagai umpan pada 22 Oktober lalu,"
ujarnya.

Katanya, pengadu mengesahkan kamera itu kepunyaannya berdasarkan tanda `Nik G cc' pada
kamera tersebut lalu bertindak memaklumkan kepada polis sebelum wanita itu ditangkap pada
`temujanji' itu manakala suaminya sempat melarikan diri.- UTUSAN ONLINE