Itulah antara kegiatan haram dikesan dijalankan di dua pusat hiburan membabitkan kelab malam dan KTV eksklusif di selatan tanah air hasil serbuan pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu, baru-baru ini.

Menurut sumber, kedua-dua pusat hiburan boleh dilabelkan sebagai `lubuk jenayah’ memandangkan terlalu banyak aktiviti haram dijalankan di premis berkenaan.

Jelasnya, kedua-dua pusat hiburan yang salah satunya dimiliki oleh warga asing dari negara jiran itu telah dua kali diserbu dalam tempoh kurang setahun.

“Mereka mendakwa kononnya dilindungi pihak berkuasa sebab itu mereka bertindak berani melakukan pelbagai aktiviti haram, walhal tiada siapa yang melindungi mereka.

“Kedua-dua pusat hiburan itu bukan sahaja beroperasi sehingga pukul 6 pagi, malah salah satunya juga tidak memiliki lesen,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Sumber memberitahu, pusat hiburan berkenaan juga dikesan dilengkapi dengan lorong tikus bagi menyorok gadis pelayan pelanggan warga asing yang digunakan untuk kegiatan pelacuran.

“Kedua-dua kelab yang terletak di satu bangunan itu mempunyai laluan khas bagi menempatkan GRO termasuk stor yang menyimpan arak bebas cukai.

“Banyak laluan tikus mereka, pihak berkuasa terpaksa menggeledah bagi menahan GRO di laluan-laluan berkenaan yang tidak dapat dikesan dengan sekali pandang,” ujarnya.

Apapun, sumber menambah, selain aktiviti jenayah berat itu, pemilik pusat hiburan itu juga dikesan mengelak cukai yang secara tidak langsung merugikan pendapatan negara dari segi beroperasi lebih masa, tidak mempunyai lesen selain tidak mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada pengunjung tetap termasuk mengisytiharkan kutipan GST.

“Walhal mereka ini meraih keuntungan hampir RM800,000 setiap malam, apa tidaknya, bagi kelab KTV mereka juga turut mengenakan bayaran bilik antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada saiz bilik.

“Bayangkan di premis itu yang memiliki hampir 100 bilik dan sentiasa penuh dengan pengunjung terutamanya pada hujung minggu dan pada masa sama mengenakan bayaran hampir RM6,000 untuk GRO dan menjual arak bebas cukai pada harga tinggi,” katanya.