Mangsa yang berusia 55 tahun itu dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor yang memaklumkan ada lelaki tidak sedarkan diri akibat ditikam dengan senjata tajam di bahagian dada.

"Namun, mangsa didapati telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan dari Pandamaran ke hospital.

"Hasil siasatan, kita menahan rakan baik suspek yang merupakan lelaki kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan berusia 51 tahun kira- kira pukul 8 malam tadi bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Tambahnya, pihaknya turut merampas sebilah pisau yang mempunyai kesan darah di kediaman suspek.

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sering mengejeknya kerana dia kudung kaki sebelah kanan.

"Kedua-dua lelaki terbabit merupakan kawan rapat dan hampir setiap petang suspek akan ke rumah mangsa," ujarnya.

Jelas Shamsul Amar, mayat mangsa kini berada di Unit Forensik dan proses bedah siasat akan dijalankan kira-kira pukul 10 pagi esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE