NOR BALQIS
NOR BALQIS

Demikian kiriman mesej Nor Balqis Qurattu Aini Zamri, 19, gadis yang dilaporkan menghilangkan diri dari rumah kelmarin kepada bapanya siang tadi.

Zamri Jusoh, 42, berkata, mesej tersebut diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp selepas beberapa kali cuba menghubungi Nor Balqis sejak dia dipercayai hilang, kira-kira pukul 1.30 petang, kelmarin.

Walau bagaimanapun Zamri berkata, tiada lagi mesej susulan daripada anak ketiga daripada empat beradik selepas itu termasuk panggilan telefon yang kembali memasuki peti mel suara.

"Walaupun dia cakap macam itu sebagai ibu bapa kami tetap risau tentang dirinya kerana tidak tahu di mana lokasi dia berada sebenarnya.

"Pada mulanya saya sangka dia berada dengan adik saya yang tinggal di Terengganu tetapi selepas menelefon ibu saudaranya itu, kami diberitahu dia tidak ada pun di sana.

"Jadi, kami tetap tidak sedap hati, saya merayu pulanglah Nor Balqis kepada keluarga. Apa jua masalah kita bincang dan cari penyelesaian," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Kehilangan Nor Balqis disedari Zamri dan isterinya, Rosliza Hussin, 45, ketika pulang ke rumah selepas membeli keperluan harian, Ahad lalu.

Berikutan itu, Zamri yang khuatir dan buntu dengan kejadian itu membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, tengah hari semalam. - UTUSAN ONLINE