Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu menggantungkan diri di jeriji besi dengan menggunakan baju lokap Maritim Malaysia.

Lelaki terbabit merupakan nelayan di Sungai Pelek, Sepang dekat sini ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya pada Rabu lalu di Perairan Tanjung Rhu kerana memiliki 22 bungkusan ketulan disyaki dadah jenis syabu seberat 23 kilogram itu direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, ketika kejadian, anggota polis di Bandar Sultan Suleiman menemukan lelaki itu tergantung dan disahkan meninggal dunia okeh penolong pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah hadir membantu siasatan dan mendapati lelaki ini menggantungkan diri di jeriji besi dengan menggunakan baju lokap Maritim Malaysia.

Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada badan lelaki terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nurulhuda memaklumkan, lelaki terbabit telah dihantar ke pakar forensik HTAR Klang untuk proses bedah siasat.

"Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah menggantung diri. Tiada unsur jenayah atau kesan kecederaan pada badannya," ujarnya. - UTUSAN ONLINE