Majistret Mohd.Hairul Jemain menjatuhkan hukuman itu terhadap Pang Hung Boon,
37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan
oleh jurubahasa dalam bahasa Hokkien.

Mohd. Hairul dalam keputusannya berkata, alasan yang dikemukakan Hung Boon
ketika melarikan diri dari lokap sangat  tidak munasabah.

"Tertuduh kata dia melarikan diri kerana mahu menyambut hari lahirnya dengan
teman wanita dan alasan itu tidak munasabah sekali gus mencacatkan objektif
tahanannya.

"Sebagai pengajaran dan kepentingan awam, tertuduh dihukum penjara selama
lapan bulan dari tarikh tangkapan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Hung Boon yang tidak diwakili peguam didakwa dengan
sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan lokap Balai Polis Taiping kerana
ditahan secara sah kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah
Pencegahan Khas).

Kesalahan tersebut dilakukannya pada kira-kira pukul 7.32 malam, 27 Oktober
lalu di lokap balai polis Taiping, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di
sini. - UTUSAN ONLINE