Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supritenden Noor Hashim Mohammad berkata, suspek berusia 28 tahun yang memandu Toyota Vios itu ditahan pukul 8 malam berhampiran sebuah stesen minyak di Bukit Indah di sini selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, polis menemukan sebanyak 30 ban­ting tertera iklan pinjaman wang di dalam bonet kereta berkenaaan.

“Susulan itu, kita menyerbu rumah sewa suspek di Taman Daya, Johor Bahru di sini dan merampas sebanyak 670 banting iklan serta 15,000 keping ri­salah pinjaman wang tanpa lesen," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Hashim berkata, suspek yang pernah didakwa atas kesalahan penyalahgunaan dadah itu bergiat aktif dengan sindiket tersebut sejak tiga tahun lalu dan menyasarkan peniaga kecil di sekitar kawasan Bukit Indah di sini sebagai mangsa.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Ujar beliau, pihaknya memandang serius kegiatan pinjaman wang tanpa lesen itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak terperangkap dengan sindiket berkenaan.