Menurut sumber, pihaknya turut merampas beberapa dokumen berkaitan tuntutan palsu dan rasuah tentang kerja-kerja penyelenggaraan syarikat milik kerajaan (GLC) terbabit.   

Kata sumber, pihak SPRM melakukan serbuan terhadap syarikat-syarikat berkaitan pada 28 Februari lalu di ibu negara dan Johor.

"Kita menerima maklumat bahawa ada pegawai terbabit dipercayai bersubahat dengan kontraktor mengemukakan tuntutan palsu mengenai kerja-kerja penyelenggaraan kapal milik GLC tersebut iaitu perkara tersebut tidak dilaksanakan sejak 2010 hingga 2013.

"Ada beberapa dakwaan yang kini disiasat SPRM. Antaranya tuntutan pembayaran kos pembaikan tangki kapal bernilai USD15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanyalah USD7.9 juta (RM30.8 juta)," katanya, di sini hari ini.

Menurut sumber selain itu, terdapat dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal mengalami kerugian sebanyak USD12 juta (RM46.8 juta) kerana proses pelantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan melibatkan GLC tersebut, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana khuatir akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. - UTUSAN ONLINE