Sabin Samitah

Ketua Pegawai Eksekutif LH­DN, Datuk Sabin Samitah berkata, syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia itu akan dibicarakan di mahkamah pada 20 September ini.

Kata beliau, tindakan itu diambil mengikut prosedur dan perundangan cukai yang berkuat kuasa bagi memastikan syarikat-syarikat yang sengaja mengelak untuk membayar cukai diambil tindakan.

“Langkah ini bertujuan memberi keadilan kepada pembayar cukai yang patuh selain melin­dungi hak percukaian di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sabin berkata, pihaknya mengesan empat buah syarikat pega­ngan pelaburan yang beroperasi di Labuan sedang merancang secara agresif bagi mendapatkan semula bayaran balik sebanyak RM530 juta.

Bagaimanapun katanya, syarikat-syarikat terbabit tidak layak menuntut bayaran balik kerana pengecualian yang diberikan LH­DN tidak terpakai untuk kumpulan syarikat tersebut yang bero­perasi sebagai Syarikat Labuan.

Pada hujung bulan lalu, LHDN mendedahkan sebanyak 15 daripada 70 syarikat gergasi yang diaudit lembaga tersebut dikesan mengelak cukai atau dalam terma percukaian disebut melakukan perancangan cukai agresif (ATP).

“Memandangkan modus ope­randi syarikat ini telah terbongkar, syarikat-syarikat dalam kum­pulan yang sama ini telah menarik balik permohonan bayaran balik kepada LHDN.

“Ini menunjukkan syarikat-syarikat berkenaan memang ber­­niat untuk menggunakan ke­lompongan dalam sistem perundangan bagi mengelak cukai di negara ini,” katanya.

Tambah Sabin, selain di La­buan, pihaknya juga telah mengenal pasti kes-kes lain yang me­lakukan perancangan cukai agresif yang menyumbang kepada jumlah RM1.016 bilion dan sedang melaksanakan siasatan se­wajarnya.