Rampasan itu dilakukan Ja­batan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah (IPK) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dae­rah menerusi satu serbuan di hadapan sebuah kedai di Bandar Sri Perdana di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, turut ditahan adalah seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Sebelum ditahan, suspek sedang membawa turun sebuah beg bersaiz besar dari tempat duduk belakang sebuah kende­raan pacuan empat roda.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut telah menjum­pai 25 bungkusan plastik berwarna kuning keemasan ber­cetak tulisan Daguanyin dan di dalam­nya berisi ketulan hablur jernih yang dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Nasri menambah, hasil siasatan lanjut turut menemukan sebuah lagi beg yang berada di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit dan berjaya menjumpai 25 lagi bungkusan plastik yang mengandungi bahan sama.

“Jumlah keseluruhan barang rampasan adalah sebanyak 50 bungkus dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Selain dadah, turut dirampas seutas jam tangan jenama Rolex dan sebuah pacuan empat roda dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan seba­nyak RM2.6 juta,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7 akta yang sama (Perlucuthakan Harta) 1988.