Menurut portal berita The Star, Thi Huong telah bertemu dengan bapanya selama kira-kira satu jam di Penjara Kajang hari ini dan melahirkan rasa bimbang akan keselamatan bapanya.

Sepupu kepada wanita itu, Tran Huy Hoang, 23 ketika ditemui media berkata, dia dan bapa saudaranya, Doan Van Thanh berkesempatan datang ke negara ini untuk bertemu Thi Huong selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Vietnam menanggung perbelanjaan mereka di sini.

“Selepas bertemu dengan bapanya hari ini, Thi Huong kelihatan gembira namun dia risau dan meminta kedutaan Vietnam untuk menyediakan tempat tinggal kami di kedutaan serta memberi perlindungan keselamatan sehingga kami selamat pulang ke Vietnam.

“Bagaimanapun, Thi Huong meminta bapanya supaya tidak hadir ke Mahkamah Majistret Sepang esok dan terus berada di kedutaan demi keselamatan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Jelas Huy Hoang, dia tidak dibenarkan hadir ke bilik mahkamah memandangkan dia bukan keluarga terdekat.

Thi Huong bersama seorang lagi suspek wanita dari Indonesia, Siti Aisyah, 25, akan berada di Mahkamah Majistret Sepang esok untuk sebutan semula kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Jong-nam mati selepas disyaki diracun dua wanita warga asing iaitu Siti Aishah, 25, dan Doan Thi Huong, 29, di balai berlepas Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) sebelum sempat menaiki pesawat ke Macau, China pada 13 Februari lalu.

Hasil siasatan mendapati, mangsa disuntik dengan menggunakan sejenis cecair atau senjata kimia yang dikenali sebagai Agen Saraf VX oleh kedua-dua suspek. - UTUSAN ONLINE