Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah mengesan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki di Taman Bukit Indah, Johor Bahru dalam keadaan mencurigakan pada pukul 3 petang semalam.

Menurutnya, sepasukan polis mengekori kenderaan tersebut namun suspek bertindak memecut kereta untuk melarikan diri apabila sedar kehadiran pihak polis sebelum kenderaan suspek dikesan semula di kawasan Susur keluar Plaza Tol Pedas, Negeri Sembilan di lebuh raya itu.

“Semasa pihak polis cuba menahan suspek, kereta tersebut telah merempuh kenderaan pasukan dan berlaku pergelutan sebelum ketiga-tiga lelaki itu diberkas pada pukul 5.30 petang. Setelah diperiksa, didapati seorang daripada mereka berusia 28 tahun merupakan suspek utama kes bunuh.

“Hasil semakan, lelaki berusia 28 tahun itu mempunyai 10 rekod lampau melibatkan Jenayah Kekerasan, Akta Senjatapi 1971, penyalahgunaan dadah dan Jenayah Terancang dibawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Tambah Fadzil, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk proses reman supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

Pada 16 Disember tahun lalu, media melaporkan seorang pengurus pusat hiburan berusia 28 tahun maut selepas diserang beberapa lelaki bersenjatakan parang ketika berdiri di luar pub berkenaan bersama beberapa lelaki lain dalam kejadian pukul 6.38 pagi.

Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebelum kejadian itu telah berlaku pergaduhan awal antara sekumpulan lelaki di hadapan premis berkenaan kira-kira pukul 5.32 pagi.

Kira-kira sejam kemudian, datang empat kenderaan di hadapan pusat hiburan berkenaan sebelum beberapa lelaki bersenjatakan parang keluar dari kenderaan tersebut dan bertindak menye­rang mangsa yang ketika itu berada di luar premis.

Susulan itu, lima individu ditahan pada hari yang sama untuk siasatan sebelum dua daripada mereka dibebaskan dengan bon. Pihak polis kemudian menyenaraikan tiga suspek sebagai individu dikehendaki dalam kes ini. - UTUSAN ONLINE