Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu terlebih dahulu ditahan di sebuah perhentian bas di Kampung Batu Muda, di sini pada pukul 11.05 malam tadi.

“Suspek menendang kakita­ngan Bank Negara selepas dipercayai tidak berpuas hati ketika berurusan di kaunter bank tersebut sebelum itu.

“Kami tidak pasti sama ada lelaki ini ada masalah mental atau seorang yang panas baran,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.

Jelas Mazlan, suspek didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan ugutan, khianat dan mendatangkan kecederaan.

“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang merupakan penganalisis di Bank Negara ditendang seorang lelaki dari belakang ketika berjalan di jejantas berhampiran pejabat organisasi itu menuju ke Jalan Raja Laut.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami sakit di belakang badan. Perbuatan suspek yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 14 saat tular di laman sosial sejak semalam.

Berdasarkan rekod, suspek pernah dipenjara selama tiga bulan kerana menendang seorang wanita yang bertugas sebagai setiausaha di Bukit Aman pada Julai 2016 malah suspek juga didakwa pernah melakukan perkara sama melibatkan seorang kakitangan Bank Negara.