Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ismadi Borhan berkata, pihaknya masih melakukan siasatan bagi mengesan suspek, barang kemas dan pump gun yang dicuri.

“Sehingga kini polis masih tidak menemukan pump gun tersebut dan percaya senjata itu masih berada di tangan suspek.

“Kami percaya kesemua suspek masih berada di sekitar Lembah Klang dan usaha menjejaki mereka sedang giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ismadi, siasatan awal juga mendapati kesemua suspek menaiki motosikal untuk melarikan diri dan hanya bersenjatakan tukul besi.

“Setakat ini pihak polis telah memanggil kira-kira 10 saksi yang dikenal pasti bagi merakamkan percakapan mengenai kejadian yang berlaku,” ujarnya.

Ismadi memberitahu, pihak­nya juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis berkenaan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan pihak forensik turut menemukan beberapa bahan bukti seperti puntung rokok yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Kita kini sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan ke­rana melakukan rompakan berkumpulan,” kata beliau lagi.

Sebelum itu, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh menaiki lima buah motosikal menyerbu kedai emas di sebuah pusat beli belah di Cheras semalam dan melarikan kesemua barang kemas bernilai RM1.5 juta dalam tempoh tiga minit.