Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmad berkata, kesemua suspek berusia di antara 22 tahun hingga 35 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam di kawasan letak kereta sebuah kondominium di Seksyen 14 di sini, dua suspek yang memandu kereta Toyota Vios telah melanggar kereta peronda polis berulang kali dalam usahanya melarikan diri sehingga memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri.

Tembakan itu terkena paha kanan seorang daripada suspek sebelum kedua-dua suspek kemudian ditahan di Seksyen 7, kira-kira lima kilometer dari kondominium itu.

Dua lagi suspek termasuk seorang wanita kemudian ditahan apabila polis memeriksa unit kondominium yang disewa suspek, yang turut menemukan tiga objek berupa pistol dan beberapa telefon bimbit.-BERNAMA