Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek yang berusia 35 tahun ditahan di kawasan Tropicana Indah pada pukul 7 petang, semalam.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. Sementara itu, mangsa tembak masih tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, seorang lelaki cedera di bahagian perut selepas ditembak sebanyak tiga das oleh seorang individu tidak dikenali.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.50 petang ketika mangsa yang berusia 35 tahun baharu selesai membeli rokok di sebuah kedai serbaneka. - UTUSAN ONLINE