Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sambungan tempoh reman itu bermula pada 11 hingga 17 Julai ini.

"Reman disambung bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

"Sebelum ini suspek ditahan dan direman bermula 5 hingga 11 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini hari ini.

Kira-kira 600 tetamu hadir pada majlis berkenaan termasuk ketua jabatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang suri rumah yang didakwa dirogol ketika datang berubat dengan seorang bomoh dalam kejadian di sebuah rumah ibadat di Kota Bharu, pada 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, mangsa berusia 41 tahun baru membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada pukul 12.40 malam, Khamis lalu.

Kejadian berlaku pada 19 Jun lalu ketika mangsa berubat di tempat berkenaan selepas diarahkan suspek untuk bermalam.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku ketika berada dalam sebuah bilik yang didatangi suspek berusia 52 tahun dan memberitahu untuk membuang 'sial' perlu melakukan hubungan seks pada hari berkenaan pada pukul 5.30 pagi. - UTUSAN ONLINE