Kedua-dua suspek berusia 17 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Op Cantas kira-kira pukul 2 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis pada 24 Februari berkaitan kes pecah tokong di kawasan Tasek Gelugor di sini.

“Terdapat 17 kesan cap jari berjaya dijumpai di tempat kejadian namun tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

“Kelmarin kedua-dua suspek berjaya ditahan hasil Op Cantas dan suspek disyaki memecah masuk dan mencuri di sebuah Tokong di Tasek Gelugor,” katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, hasil siasatan lanjut kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes pecah tokong di sekitar SPU.

“Pihak polis telah merampas sehelai baju, sebatang spanar boleh laras dan sebuah topi keledar.

“Kesemua barang rampasan dan tangkapan dibawa balik ke IPD SPU untuk tindakan selanjutnya dan suspek didapati positif dadah,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE