Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Bandar Perda, di sini kira-kira pukul 10 malam semalam.

“Suspek ditahan susulan laporan dibuat seorang jurujual sebuah syarikat baru-baru ini yang memaklumkan pejabat tempatnya bekerja dipecah masuk dan mengalami kerugian kira-kira 2,500 apabila dua unit komputer riba dilarikan.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang mempunyai 12 rekod jenayah turut dikehendaki polis dalam beberapa kejadian kecurian dan dadah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah pejabat dan barang kes iaitu dua buah komputer riba telah dibuang ke dalam sungai bersebelahan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Suspek masih dalam pengaruh dadah dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE