Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisoner Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 35 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek juga berhadapan dua pertuduhan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana merogol menggunakan objek.

"Selain itu, isteri suspek berusia 28 tahun pula dibebaskan dengan bon dan dijadikan saksi dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri tersebut ditahan selepas Nur Muazara Ulfa atau mesra dipanggil Zara, meninggal dunia 9 November lalu selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala yang mana tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan.

Selain itu, terdapat kesan koyakan baharu pada selaput dara selain dubur mangsa dipercayai akibat penderaan seksual. - UTUSAN ONLINE