Menurut kenyataan Grab, pihaknya telah melakukan semakan dan mengesahkan suspek dan kenderaan yang digunakan olehnya tidak berada dalam platform senarai pendaftaran mereka sekaligus menolak spekulasi orang ramai perkhidmatan syarikat tersebut tidak selamat.

“Kita hanya menerima pemandu tempatan yang mempunyai lesen memandu yang sah mengikut undang-undang ditetapkan. Apa pun, Grab berasa lega apabila pihak berkuasa berjaya memberkas suspek kurang 24 jam insiden cubaan rogol itu berlaku.

“Semua pelanggan Grab perlu sentiasa menyemak butiran pemandu dan kenderaan sebelum masuk menaiki kereta. Hal ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang warganegara Pakistan yang menyamar sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing cuba merogol seorang wanita dalam kejadian di Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Grab berkata, pihaknya telah menyediakan perkhidmatan keselamatan dalam aplikasi mereka dan mahu orang ramai menggunakannya demi keselamatan masing-masing.

Katanya, antara perkhidmatan keselamatan yang disediakan adalah Share-my-Ride, MERS 999 dan Emergency contact. - UTUSAN ONLINE