Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk S. Dev Kumar berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan angota JSJ yang diketuai Asisten Superintenden Unang Giang dalam serbuan di satu lokasi di Pelita Commercial Centre di sini, semalam.



Beliau berkata, penahanan suspek itu dipercayai dapat menyelesaikan kes pembunuhan berkenaan.



“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 11 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.



Pada Isnin lalu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat terapung di Sungai Miri, kira-kira pukul 7.20 pagi.



Mayat tanpa dokumen pengenalan diri itu dijumpai dalam keadaan mula berbau dan reput, berpakaian lengkap dengan kepala dibungkus guni yang diikat di bahagian pinggang. - UTUSAN ONLINE