Chong Ah Kow

Sebaliknya suspek lelaki berusia 47 tahun itu merupakan ahli perniagaan yang menggunakan syarikat Tombo Enterprise Sdn. Bhd. untuk memperbaharui visa pekerjaannya yang telah tamat tempoh.

Pengarah Urusannya, Chong Ah Kow berkata, beliau membantu suspek untuk memperbaharui visa pekerjaannya dengan menggunakan jawatan sebagai petugas IT di syarikat itu pada 6 Jun 2014.

Katanya, Jong-chol cuba memasarkan produk kesihatan ekstrak cendawan yang dipatenkan bapa saudaranya di Korea Utara ke negara ini menerusi syarikat miliknya itu.

“Suspek diperkenalkan kepada saya oleh bapa saudaranya pada 2013 selepas saya cuba mencari ubatan alternatif untuk rawatan kanser ketika menyertai Pertandingan Harmonika peringkat dunia di Pyongyang, Korea Utara pada 1997.

“Sejak 2013, kami berjumpa kira-kira lima kali dan kali terakhir adalah sebelum Tahun Baharu Cina baru-baru ini di sebuah kafe di Pudu untuk memperkenalkannya kepada rakan saya atas urusan perniagaan minyak kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Ah Kow menambah, kebiasaannya mereka hanya berkomunikasi menerusi aplikasi Whatsapp dan setiap kali berjumpa, suspek akan membawa anak perempuannya yang menuntut di Universiti Help supaya dapat berbincang dengan lancar berikutan kesukaran suspek berbahasa Inggeris.

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat tahu mengenai penglibatan suspek dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu, beliau sukar mempercayainya kerana lelaki tersebut merupakan seorang yang amat sopan dan merendah diri.

“Melihat kepada cara suspek bercakap mahupun menerusi perbualan telefon, amat sukar untuk mengagak dia adalah salah seorang daripada suspek utama kes pembunuhan Jong-nam.

“Namun, selepas membaca fakta dan juga butiran yang diberikan pihak polis, saya akur dan bersedia untuk menyalurkan semua maklumat yang ada bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ah Kow mendakwa pernah cuba menghubungi suspek dan ahli keluarganya yang terdiri daripada isteri berserta dua orang anak, namun telefon bimbit mereka telah dimatikan.

“Setakat ini, polis belum menghubungi saya, tapi saya akan ke balai polis secara sukarela selepas ini untuk memberikan keterangan mengenai suspek,” tambahnya.