Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti suspek.

“Saya dimaklumkan suspek adalah PATI tapi identitinya masih belum dapat dikenal pasti. Kita sedang mewarwarkan agar sesiapa yang mengenali suspek untuk tampil memberi maklumat mengenai latar belakang suspek.

“Motif suspek menjadikan kanak-kanak itu tebusan juga masih belum dikenal pasti dan siasatan terperinci masih berjalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam kejadian 13 Januari lalu, suspek lelaki berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat berhampiran rumahnya lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di sebuah rumah di aras sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum suspek ditembak mati oleh anggota polis.-UTUSAN ONLINE