Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa tersebut hanya menyedari ditipu setelah bayaran terakhir sebanyak RM2,500 dibuat di Bank Rakyat Kapit.

Katanya, penipuan itu bermula apabila mangsa menerima panggilan seorang lelaki dikenali sebagai Tony Yong melalui aplikasi Facebook Messenger yang mahu mengirim hadiah seperti barang kemas, beg, kasut, baju, jam tangan dan minyak wangi pada 24 Oktober lalu.

“Lelaki itu mengatakan tujuan dia mengirim barang-barang disebabkan mangsa hidup dalam kesusahan.

“Seterusnya pada 12 November lalu, lelaki itu meminta RM5,000 sebagai bayaran cukai kastam kerana parcel itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua hari kemudian mangsa memasukkan wang sebanyak RM2,500 ke akaun Bank Islam atas nama Noorizan Interprise agar barang itu boleh di hantar ke Sibu.

“Kelmarin, seorang wanita mengatakan dari Syarikat Noorizan Interprise menghubungi mangsa memaklumkan barang kiriman itu berada di Sibu dan cukai kastam tertunggak perlu dijelaskan sebanyak RM2,500 sebelum dapat dilepaskan.

“Mangsa sekali lagi memindahkan wang berjumlah RM2,500 dan wanita itu memberitahu barang itu akan sampai di Kapit pada pukul 12 tengah hari,” ujarnya.

Beliau berkata, mangsa menyedari dia ditipu apabila kiriman dijanjikan tidak ada malah nombor telefon pengirim itu gagal dihubungi. - UTUSAN ONLINE