Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku antara 12 hingga 15 Oktober lalu.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis diterima, mangsa berusia 29 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis pada 12 Oktober lalu.

“Suspek kemudian mendakwa mangsa ada membuat pinjaman peribadi di Hong Leong Bank dan terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.

“Mangsa juga ditakutkan dan diugut akan ditahan sekiranya tidak memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, mangsa yang terpedaya dengan panggilan itu kemudian diminta memasukkan sejumlah wang kononnya untuk membantu menyelesaikan kes berkenaan.

Katanya, mangsa seterusnya membuat pindahan wang RM18,750 melalui sistem perbankan dalam talian ke akuan bank CIMB suspek.

“Mangsa kemudian gagal menghubungi semula suspek sebelum membuat semakan dengan pihak bank yang memaklumkan dia telah diperdaya sindiket penipuan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - UTUSAN ONLINE