Mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa berada di London di laman sosial Facebook yang menggunakan nama Edin Teyul.

Perkenalan itu berlanjutan menerusi aplikasi media sosial WhatApps antara kedua-dua mereka dengan suspek berkenaan menggunakan nombor 447732463140.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, selepas berjaya meyakinkan mangsa menerusi perkenalan itu, suspek mula memasang jerat dengan mendakwa akan ke Singapura dengan membawa sejumlah wang dan ketulan emas.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan, suspek mendakwa kapal yang dinaikinya ditahan di Miri, Sarawak dan meminta mangsa memindahkan wang sebanyak AS$3,000 (RM12,000) bagi menyelesaikan proses penahanan itu.

“Bagaimanapun, mangsa hanya memindahkan RM3,000 pada 11 Oktober tahun lalu kepada satu akaun bank yang didaftarkan atas nama seorang perempuan Melayu.

“Namun, selepas dipujuk, mangsa memindahkan pula sebanyak RM130,000 pada 1 November tahun lalu kononnya untuk dibayar kepada imigresen bagi urusan membawa keluar wang dan ketulan emas yang dibawa suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, mangsa kemudiannya terus mengikuti arahan kenalan Facebooknya itu dan beberapa kali memindahkan wang kepada nombor akaun yang diberikan dengan jumlah antara RM4,000 hingga RM30,000.

Kali terakhir pemindahan wang itu dilakukan mangsa, ujar beliau, adalah semalam iaitu sebanyak RM55,000 selepas suspek mendakwa wang yang diberikan sebelum ini tidak cukup untuk melepaskan barang yang dibawa.

“Selepas kali terakhir semalam, suspek masih meminta mangsa memasukkan wang kerana mendakwa belum mencukupi menyebabkan mangsa berasa curiga dan tertipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Dalam pada itu, Anbalagan melahirkan kekesalan kerana kes penipuan Macau Scam khususnya membabitkan individu yang dikenali menerusi media sosial terus berlaku meskipun banyak pendedahan dibuat sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling khususnya melibatkan pihak tidak dikenali yang cuba meminta maklumat perbankan atau meminta wang. - UTUSAN ONLINE