Mengesahkan surat tawaran itu sebagai palsu, Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pihaknya telah membuat laporan polis perkara tersebut kononnya surat tawaran darjah dan bintang kebesaran tersebut telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, beliau memaklumkan surat tersebut turut mengandungi fakta tidak benar termasuk menggunakan jata kerajaan Selangor yang salah selain nama serta tandatangan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor yang palsu.

"Perbuatan ini adalah satu jenayah penipuan yang serius dengan tujuan untuk memperdayakan orang ramai, menjejaskan nama baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan mencemarkan insititusi Diraja Selangor.

"Diharapkan orang ramai mengambil maklum mengenai perkara ini dan mengelak daripada terpedaya atas cubaan individu tertentu yang melakukan penipuan demi kepentingan peribadi mereka," katanya.

Pada masa sama, Hanafisah turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa sekiranya terdapat keraguan membabitkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor. - UTUSAN ONLINE