Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak 422 serbuan judi haram dibuat melibatkan tangkapan se­banyak 691 orang, rampasan 5,426 mesin judi dan wang tunai RM33,863.

Walau bagaimanapun ujar beliau, pihaknya percaya masih ada lagi individu-individu tertentu yang cuba menjalankan kegiatan tersebut secara sulit.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang berdegil termasuk menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya dalam sidang akhbar sebelum majlis pelupusan mesin perjudian haram di IPK Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seba­nyak 5,186 unit mesin judi yang dirampas di Sungai Buloh sejak Oktober 2016 hingga Mei lalu dilupuskan kerana digunakan dalam aktiviti perjudian selepas menerima perintah mahkamah.

Menurut Somu, kesemua mesin judi yang terdiri daripada 2,133 komputer, 3,048 komputer riba dan lima tablet melibatkan 570 kertas siasatan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2.5 juta.

Dalam perkembangan lain, Somu memberitahu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di Kampung Baru Su­bang pada 20 Disember lalu kerana me­ngugut dua kanak-kanak pada pukul 4 pagi di sebuah kedai makan.

Jelasnya, pengadu iaitu ayah kepada kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis ekoran ugutan tersebut dan tangkapan telah dibuat pada hari yang sama serta individu yang mempunyai dua rekod dadah itu masih direman sehingga kini.

“Susulan daripada tangkapan itu, orang awam membuat laporan polis mendakwa individu terbabit juga pernah memeras wang pemandu-pemandu lori yang lalu di Kampung Baru Su­bang. Dia akan tahan dan minta kepada mereka antara RM25 hingga RM30.

“Siasatan terhadapnya masih diteruskan dan suspek akan dituduh sama ada Seksyen 506 Kanun Keseksaan atau 384 Kanun Keseksaan atau di bawah POCA,” katanya.