Perkara itu ternyata benar apabila sekumpulan penyeludup daun ketum di sini, menggunakan batang buluh yang disumbat ke dalam ekzos motosikal mereka, untuk memastikan kenderaan yang dinaiki senyap semasa menyeludup ketum.

Motosikal digunakan itu juga ditutup dengan plastik berwarna hitam di bahagian lampu hadapan, supaya tidak terlalu terang sekali gus mengelak kegiatan mereka diketahui orang.

Perbuatan mereka tersebut walau bagaimanapun terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki manakala lima lagi disyaki berjaya melarikan diri, ketika cuba menyeludup daun ketum di kawasan sempadan semalam.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, hasil daripada serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi di kawasan Op Wawasan itu, sebanyak 14 buah guni berisi daun ketum seberat 416 kilogram dan lapan buah motosikal dirampas.

“Kita percaya bahawa daun ketum ini untuk dipasarkan ke negara jiran yang mendapat permintaan tinggi sehingga dikatakan mencecah RM80 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kejayaan tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Muhamad Halim, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu merupakan penduduk di kawasan berdekatan dan menjadikan kegiatan tersebut sebagai sumber pendapatan harian kerana ujian air kencing masing-masing, didapati negatif dadah.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pasukan PGA juga berjaya merampas sebanyak 90 kilogram daun ketum di kawasan Op Wawasan berdekatan, pada pukul 9.15 malam tetapi tiada tangkapan dilakukan.

Kata beliau, kedua-dua kes yang dipercayai tiada kaitan, disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE