Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff berkata, kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu mengakibatkan mangsa, Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas sebagai penyia­sat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mening­gal dunia di lokasi kejadian de­ngan empat kesan tembakan di bahagian belakang badan.

“Siasatan awal me­nemukan lima ke­longsong dan tiga anak peluru di lokasi kejadian. Difahamkan, ketika mangsa bersama rakannya bersembang dalam pekarangan rumah tersebut, suspek memanjat pagar sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu.

“Penelitian di lokasi mendapati, suspek dipercayai melarikan diri ke dalam semak di belakang rumah itu. Hasil bedah siasat turut mendapati empat peluru mengenai mangsa dengan tiga daripadanya menembusi badan manakala satu lagi tertinggal di bahagian kiri dada,” katanya.

Difahamkan mang­sa yang juga anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman mula berada di rumah kenalannya itu beberapa jam sebelum kejadian berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung kes siasatan.

Sementara itu, Asri berkata, setakat ini, pihaknya menahan kenalan mangsa yang merupakan individu lelaki berusia 35 tahun untuk direman selama seminggu sehingga 25 Ogos depan bagi membantu siasatan.

“Selain itu, dua suspek yang sebelum itu diburu dan gambar mereka diedarkan iaitu Mohd. Hatta Johari, 30, dan Mohd. Najib Budin yang dikenali sebagai 'E-Bedah' masing-ma­sing telah menyerah diri di IPD Kubang Pasu pukul 4 dan 6 petang tadi,” ujarnya.

Ditanya motif pembunuhan tersebut, Asri menjelaskan, siasatan masih dijalankan namun beliau percaya, ia ada kaitan dengan operasi besar-besaran yang dijalankan pihaknya bagi membersihkan kawasan sempadan daripada ke­gia­tan penyeludupan pintu sempadan yang akan dibuka selama 20 jam berbanding cuma 12 jam, September depan.

“Setakat ini lima individu te­lah disenaraikan untuk ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah penyeludupan di kawasan sempadan. Tiga daripadanya sudah ditahan namun dua lagi masih bebas.

“Mohd. Hatta dan E-Bedah tidak termasuk dalam senarai nama itu, namun kami percaya mereka juga turut menjalankan kegiatan sama serta terlibat dalam kumpulan gengster,” katanya.

Asri menambah, kumpulan gengster itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan ter­masuk minuman keras dan senjata api.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengucapkan takziah kepada keluarga Abu Hashim berhubung kejadian tersebut.

“Saya dan seluruh warga @PDRMMsia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abu Hashim yang ditembak mati penjenayah malam tadi,” katanya dalam satu catatan di laman twitter miliknya.