Risau akan keselamatan diri dan anaknya, isteri suspek bertindak menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan setelah suaminya yang bersenjatakan parang mengugut mahu meletupkan bom yang dipegangnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung perkara itu pada pukul 7.45 pagi dan menghantar sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian berpunca apabila suspek, 40-an yang sudah lama tidak tinggal dengan isteri dan anak pulang ke rumah kira-kira pukul 7.25 pagi untuk bertemu anaknya namun dilarang isterinya malah dan menutup pintu hadapan rumah bagi mengelaknya masuk ke dalam.

“Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati suspek sedang mengamuk di garaj kereta di hadapan rumah sambil memegang sebilah parang dan sebutir bom mortar. Walaupun suspek dipujuk beberapa kali supaya bertenang dan menyerah diri, dia tetap tidak memberi kerjasama.

“Hampir tiga jam polis berusaha memujuk suspek untuk menyerah diri namun lelaki itu tetap berdegil dan enggan menyerah diri. Semasa rundingan dibuat, pasukan BSJ menyerbu masuk ke dalam garaj kereta dan membuat tangkapan ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Abduh memberitahu, tangkapan ke atas suspek berjaya dibuat pada pukul 10.45 pagi setelah memujuk suspek kira-kira dua jam 45 minit.

Ujarnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian bersama anggota Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menemukan sebutir bom mortar, dua bilah parang berukuran 36 sentimeter (cm) dan dua bilah pisau setiap satu berukuran 9cm dan 25cm.

Jelasnya, unit pemusnah bom Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor turut dipanggil untuk pemeriksaan lanjut dalam rumah isteri suspek.

“Siasatan mendapati suspek berhenti kerja pada 2014 dan pernah terlibat dalam kes memukul isteri dan anak seperti dilaporkan isterinya pada 6 September lalu. Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga dan suspek masih dikehendaki bersabit kes tersebut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 06 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE