Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Mohd. Tarmizi Abdul Hamid, 67, dan isteri, Tom Wahid, 64, turut dipukul menggunakan besi alat penimbang air oleh anak lelaki mereka berusia 28 tahun.

Kejadian berlaku apabila suspek dikatakan mengamuk kerana ibunya itu membuat laporan tentang masalah ketagihan dadah dihadapinya kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang kemudian bertindak menahannya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim memberitahu, kejadian bermula apabila suspek bertindak memarahi ibunya yang ketika itu berada di dapur sebelum memukul serta menetak kedua-dua ibu bapanya dengan alat penimbang air dan gergaji tangan.

"Ibu suspek dalam keadaan lemah dan berdarah pada muka melarikan diri ke rumah jiran manakala bapa suspek terbaring di dapur rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jiran tersebut kemudian membuat laporan polis di Pondok Polis Sungai Korok di sini sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek dilihat duduk mencangkung di depan rumah bersama satu gergaji di sebelahnya dan dia kemudiannya ditahan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut," ujarnya.

Mohd. Ismail memberitahu, suspek yang tidak bekerja dan baru sahaja beberapa bulan keluar dari pusat pemulihan dadah.

“Suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE