Ishak Abu Hassan, 40, dan Elmirushuda Amerudi, 27, didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut antara Mei dan Julai 2017 di Balai Raya Felda Lakum dan Sekolah Agama Rakyat Felda Lakum, Lanchang, di sini.

Ishak yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor didakwa memperdaya tiga wanita untuk membuat lima pembayaran secara tunai membabitkan pakej umrah yang dipersetujui dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Isterinya pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu iaitu kesalahan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pegawai Pendakwa, Inspektor M. Sutaka yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh-tertuduh.

Bagaimanapun, peguam M. Varunchelvam yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan serta mereka sanggup dikenakan syarat tambahan iaitu penahanan pasport dan melapor diri di balai polis berhampiran.

Menurutnya, Ishak bekerja sebagai ejen pelancongan de­ngan pendapatan purata seba­nyak RM800 sebulan.

“Tertuduh pertama juga mempunyai tanggungan dua isteri dan tiga anak serta ibu bapa yang berusia dalam lingkungan 70-an. Isteri tertuduh pula merupakan suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan,” katanya.

Penolong Kanan Pendaftar, Tei Pei Si kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan mereka diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di Balai Polis Sungai Buloh, Selangor sebelum 10 hari bulan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan kes.