Dalam serbuan pukul 2.30 petang, kesemuanya yang berusia dalam lingkungan antara 41 hingga 58 tahun, ditahan ketika sedang membungkus air ketum ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil soal siasat mendapati mereka mampu mengaut keuntungan mencecah RM15,000 sebulan hasil penjualan air ketum kepada mahasiswa dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di sini dengan harga RM10 untuk botol besar dan RM5 untuk botol kecil.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis telah merampas 133 botol kecil mengandungi 83 liter air ketum dianggarkan bernilai RM3,000.

Turut dirampas ialah daun ketum seberat empat kilogram, 500 botol kosong, wang tunai RM1,300 dipercayai hasil jualan air ketum serta beberapa peralatan untuk memproses daun ketum di dalam rumah tersebut.

"Ketiga-tiga suspek ini dipercayai aktif mengedar air ketum sejak dua tahun lalu dan menjadikan rumah yang disewa itu sebagai lokasi penjualan bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

"Sehubungan itu, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Perak Tengah, di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE