Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya turut menyerbu rumah sewa di pangsapuri berkenaan yang digunakan kedua-dua suspek untuk memproses dadah pada pukul 5.40 petang hari sama.

“Lelaki berkenaan yang berumur 31 tahun manakala isterinya warga Vietnam berusia 27 tahun pada awalnya ditahan kerana membawa beg plastik yang mengandungi 10 paket serbuk dan ketulan 4.53 kilogram (kg) heroin.

“Susulan penahanan itu, polis membongkar rumah mereka dan menjumpai 13 paket plastik mengandungi serbuk dan ketulan heroin seberat 5.34 kg, kafein seberat 7.9 kg, 4.15 gram heroin base dan beberapa peralatan memproses dadah yang dianggarkan RM245,300,” katanya di sini hari ini.

Dalam masa sama, pihaknya turut menyita wang tunai RM7,175, kereta jenis Audi dan BMW yang keseluruhannya bernilai lebih RM100,000.

“Mereka ditahan reman hingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya. - UTUSAN ONLINE