Dalam serbuan pada pukul 12.40 tengah hari itu, suspek lelaki, 31, dan isterinya berusia 28 tahun ditahan di sebuah premis Kedai Runcit A-R dekat sini.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Musa Sulaiman berkata, kedua-dua suspek yang juga pemilik premis berkenaan telah melakukan kegiatan memalsukan dokumen.

“Hasil maklumat awam dan risikan, kita bertindak menahan kedua-dua suspek rakyat tempatan itu.

“Serbuan di premis terbabit mendapati terdapat sebuah bilik khusus yang dijadikan sebagai pusat menghasilkan dokumen palsu,” katanya di sini hari ini.

Musa memberitahu, pihaknya merampas sebuah set komputer, mesin pengimbas, mesin cetak dan peralatan pembuatan dokumen palsu.

“Suspek terlibat dalam memalsukan dokumen seperti pas visa, lesen dan beberapa dokumen lain berkaitan imigresen. Kita juga menemui resit imigresen palsu di lokasi yang sama,” katanya.

Ujar Musa, suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis manakala wanita itu pula ditahan untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 55d Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 51 (5) b akta yang sama. - UTUSAN ONLINE