Kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 pagi tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, suspek terlebih dahulu menyerang seorang pekerja kedai serbaneka warga Bangladesh ketika cuba menyamun wang daripada kaunter.

“Suspek menetak pekerja terbabit menggunakan sebilah parang semasa cuba mendapatkan wang di kaunter kedai tersebut. Ketika itu lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Honda City masuk ke kedai, sementara isterinya menunggu dalam kereta.

“Kemudian suspek menetak lelaki berkenaan dan merampas kunci kereta miliknya. Mangsa yang cedera melarikan diri ke dalam stor namun setelah menyedari keretanya cuba dilarikan, mangsa bersama isterinya bertindak menyerang suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zani, isteri mangsa cuba menghalang suspek masuk ke keretanya tetapi bertindak keluar selepas menyedari cubaannya gagal.

Katanya, suspek bagaimanapun berjaya masuk ke dalam kereta dan cuba memandu meninggalkan lokasi kejadian. - UTUSAN ONLINE