Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, identiti mangsa berjaya dikenal pasti setelah polis menangkap suaminya yang merupakan peniaga rakyat tempatan di sini.

Katanya, suspek berusia 42 tahun yang direman selama tujuh hari bermula semalam, ditahan setelah memberikan keterangan meragukan tentang kehilangan isterinya selama beberapa hari sebelum kepalanya dijumpai.

"Peniaga terbabit ditahan untuk membantu siasatan lanjut berkaitan kes kematian isterinya setelah alasan diberikan kepada polis semasa ditemuduga didapati meragukan," katanya ketika dihubungi, di sini petang ini.

Pada Sabtu lalu, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Batang Lupar di Skiat Lama gempar apabila menemukan mayat seorang wanita tanpa kepala terdampar di tebing sungai.

Mayat tanpa identiti berusia lingkungan 20-an itu dipercayai mati dalam tempoh 24 jam sebelum ditemukan dan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat. - UTUSAN ONLINE