Norfadila Wahida Radzi, 36, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan di hadapan Hakim, Johari Hassan selepas semua pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Pengarah SPRM negeri, Mohd. Shukor Mahmud dalam satu kenyataanya berkata, tertuduh didakwa mengambil tindakan memasukkan lima borang pesanan ke dalam sistem IUS Kewangan Unimap berkaitan pembekalan perkakasan dan komponen makmal oleh Syarikat Zerofreak Enteprises yang dimiliki suaminya, Mohd. Fadzril Safry Mohamed Soofi, antara April hingga Julai 2013.

Katanya, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 24, akta yang sama.

“Mohd Fadzril pula dijatuhi hukuman dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan cagaran sebanyak RM15,000 atas pertuduhan di bawah Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009 dan dibaca bersama dengan Seksyen 23 ASPRM.

“Tertuduh didakwa dengan lima pertuduhan kerana bersubahat dengan isterinya apabila wang suapan berjumlah RM61,417.20 berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun Syarikat Zerofreak Enteprises yang dimilikinya,” katanya.

Tambah beliau, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A. Hafizh Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE