Dalam masa sama, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad turut tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan melibatkan pihak terbabit dengan kes berkenaan.

“Insya-Allah bila saya sebut itu...adalah, tidak boleh beri tahu bila masanya. Tunggu adalah nanti yang kita akan bertindak. Konteks sempadan negara ini sangat luas yang melibatkan ba­nyak agensi penguatkuasaan terlibat menjaga sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kembara Jelajah Antirasuah 2017 (Kejar 17) sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas SPRM Ke-50 peringkat negeri Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap, Dzul­kifli memberi peringatan akan terus memburu dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan ra­suah dan salah guna kuasa.

“Kita pandang serius isu ini apabila hak rakyat cuba dicabuli dan dikhianati. Jangan risau rakyat Malaysia, kita akan bertindak agar pengkhianat ini dibawa ke muka keadilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, SPRM menyasarkan keahlian Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) mencapai 100,000 orang menjelang hujung tahun ini.

Katanya, sejak Ogos lalu sehingga kini, Sahabat Gerah di seluruh negara sudah mencapai 60,000 orang.

“Insya-Allah sasaran itu akan dapat dicapai dalam tempoh terdekat menerusi jelajah berterusan yang dilakukan SPRM,” katanya.