Azam Baki

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan terhadap kes berkenaan akan dite­ruskan selepas bukti dan maklumat baharu diperoleh.

Menurutnya, lebih ramai saksi akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita akan mengambil keterangan bukan sahaja daripada saksi-saksi dalam negara, malah siasatan baharu ini turut membabitkan saksi-saksi dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azam, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu dibuat ke atas mereka yang terlibat dalam masa terdekat.

Pada 24 Mac lalu, media melaporkan dua bekas pegawai kanan syarikat itu yang bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kontroversi tersebut sebelum dibebaskan tujuh hari kemudian de­ngan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.

Isu itu mendapat perhatian apabila akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai atasan Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa mem­belanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne pada 2013.

Sayap pelaburan Mara berkenaan terjebak de­ngan kontroversi apabila akhbar tersebut mendakwa mereka membeli bangunan lima tingkat itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.­

Akhbar tersebut juga melaporkan ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan Dudley International House iaitu daripada AS$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada AS$22.5 juta (RM65.3 juta) dan mendakwa wang perbezaan itu dijadikan rasuah di tanah air.