Anggota polis berpangkat lans koperal dan berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kelantan, di sini ketika lelaki itu dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 6.50 petang semalam.

Menurut sumber, suspek bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh disyaki menerima suapan itu pada pukul 11.30 malam pada 29 Mac lalu.

“Dia dipercayai menerima suapan daripada orang tengah bagi mengurangkan jumlah bungkusan air ketum yang dirampas dalam satu serbuan.

“Kes ini adalah rentetan penahanan dua anggota polis berpangkat sarjan dan lans koperal pada Isnin lalu berkaitan kes menerima suapan bernilai RM9,700,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.

“Anggota polis itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan lans koperal serta seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bernilai lebih RM9,700, Isnin lalu. - UTUSAN ONLINE