Menurut sumber, lelaki itu yang bekerja di JKR daerah Seremban ditahan di pejabat SPRM di sini pada pukul 3.30 petang ini.

Ujarnya, berdasarkan maklumat, jurutera awam terbabit dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara berperingkat daripada sebuah syarikat kontraktor.

“Ia sebagai balasan mempercepatkan urusan memperakukan kerja-kerja yang dijalankan oleh syarikat kontraktor yang dilantik bagi projek pembinaan dewan badminton di sebuah sekolah di Rantau, Rembau bernilai RM2 juta.

“Jumlah keseluruhan rasuah yang terlibat lebih kurang RM18,000,” kata sumber itu di sini hari ini.

Kata sumber lagi, lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, permohonan reman ke atas lelaki tersebut akan dibuat di Mahkamah Seremban pagi esok.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan penjawat awam itu. - UTUSAN ONLINE