Menurut sumber, jurutera tersebut yang bertugas di Petronas Chemical Group dan isterinya dipercayai berbuat demikian bagi melakukan kerja pengujian terhadap paip-paip yang dipasang di projek Samur di Sipitang.
Sumber berkata, pasangan suami isteri tersebut masing-masing berusia 58 tahun dan 49 tahun ditahan di rumah mereka pada pukul 2 petang di Shah Alam, Selangor.

“Suspek yang merupakan pengurus kawalan kualiti dan analisis kualiti projek tersebut ketika itu disyaki meminta serta menerima rasuah sebagai upah melantik syarikat sub-kontraktor kepada kontraktor utama bagi menjalankan kerja tersebut.

“Pembayaran rasuah itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya sebagai upah bagi melantik syarikat berkenaan dalam melaksanakan projek tersebut,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

“Setakat ini pihak kami telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes itu dan 12 rakaman pernyataan diambil daripada individu-individu berkaitan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE